W’salam….Terima kasih kepada saudari yang bertanyakan soalan ini. Di sini saya akan kemukakan pandangan saya. Namun sebelum saya menjawap, mari kita baca petikan soal jawab dari JAKIM di bawah:
Soalan :
saya ingin mengajukan soalan, adakah pasangan yang terlanjur perlu berkahwin sesama mereka dan apa hukumnya kalau pasangan itu berkahwin dengan pasangan yg lain?? sebab apa yg saya pernah dengar bg pasangan yg terlanjur tidak layak utk mengahwini pasangan lain selain pasangan yg sama terlanjur dengan nya.
Jawapan :
Bagi pasangan yang terlanjur boleh berkahwin dengan sesiapa sahaja samada dengan pasangan yang sama terlanjur dengannya atau orang lain.
Nota:
1. Jawapan kepada soalan disediakan oleh Panel Kemusykilan Agama, JAKIM
2. Jawapan yang diberi adalah berdasarkan Mazhab Shafie kecuali dinyatakan sebaliknya.
Dari soal jawab di atas jelaslah kepada kita tiada sebarang masalah dalam hubungan saudari dengan si A meskipun A tidak berkahwin dengan Q. Cuma apa yang menjadi kebimbangan seperti yang dinyatakan ada 3 perkara iaitu:
- Saudari kesiankan Q
- Saudari bimbang perkara sama berulang lagi.
- Ingin menjaga hati ibu.
Sebenarnya masalah tidak akan timbul jika si A tidak menceritakan soal keterlanjurannya kepada saudari. Dalam islam kita diajar supaya menjaga maruah kita. Tidak boleh menceritakan aib kita kepada orang lain meskipun kepada bakal isteri/ suami kecuali perkara yang sepatutnya. Dalam soal ini si A tidak seharusnya menceritakan soal kerterlanjurannya kepada saudari jika dia benar-benar telah bertaubat. Namun saudari berhak mengetahui adakah beliau sorang lelaki yang baik untuk dijadikan suami.
Seandaikan seseorang lelaki itu kaki perempuan dan sifat buruk ini amat jelas kelihatan pada dirinya, sudah tentu ramai sahabat akan bercakap buruk tentang dirinya. Lelaki sebegini tidak layak dijadikan suami. Namun sekiranya beliau pernah sekali terlanjur dengan seseorang kemudian bertaubat dan menjaga aib diri dan pasangan yang telah terlanjur, beliau hanyalah seorang manusia biasa yang pernah melakukan kesilapan. Orang seperti ini tidak salah dijadikan suami, malah jika benar beliau telah bertaubat, tentulah sinar keimanan terpancar dalam setiap amalannya.
Kita tidak boleh bersandar kepada perkara silam meskipun perkara silamlah yang membentuk sikap kita di masa kini. Islam mengajar kita supaya berubah dan menjadi lebih baik dari masa ke semasa. Soalnya sekarang adakah beliau telah berubah? Cukupkan amalan solatnya 5 waktu sehari semalam? Adakah beliau selalu menuntut ilmu agama di surau dan masjid? Adakah beliau mempunyai sikap-sikap seorang yang beriman? Jika ada, beliau tidak perlu dipinggirkan atas dasar sejarah silam yang buruk. Namun jika tiada, usahkan terlanjur, jika tidak pernah terlanjur sekali pun, saudari perlu fikir-masak-masak untuk menerima orang sebegini sebagai suami.
Perkara akan datang usahkan saudari endahkan sangat sekiranya benar buat masa sekarang si A sudah berubah. Allah berkuasa membalik-balikkan hati manusia sekelip mata sahaja. Banyak berlaku kisah ustaz berzina, ustazah kahwin lari dengan lelaki bukan islam dan seumpamanya. Orang baik boleh bertukar menjadi zalim dan orang zalim boleh bertukar menjadi baik. Semuanya atas kehendak Allah yang kita tidak tahu dan tidak boleh menentukannya samada di masa sekarang mahu pun di masa akan datang. Jadi usahlah khuatir tentang masa depan sekiranya di waktu ini beliau sudah bersikap sebaik-baiknya seperti seorang lelaki yang soleh.
Bagaimana Dengan Si Q?
Saya tidak nampak sebarang masalah timbul jika mereka telah terputus hubungan. Biarlah mereka berpisah dan memulakan hidup baru. Jangan dihampiri lagi kerana kerterlanjuran mereka akan membuatkan mereka mudah untuk mengulangi kesilapan lama. Kesalahan di masa silam biarlah ia berlalu dan bertaubatlah sepenuh hati kepada tuhan. Allah menyayangi hambanya meskipun sering melakukan kesilapan. Cuma terpulang kepada kita sendiri mahu bertaubat, berubah dan kembali kepada-Nya atau pun tidak.
Minta mereka berdua jaga aib sendiri. Usah bercerita kepada orang lain. Dosa itu antara mereka berdua dengan Allah. Mereka harus saling bermaafan sesama mereka dan mereka harus bertaubat. InysaAllah, Allah akan ampunkan dosa kedua-duanya. Bertindak jujur dan menceritakan dosa yang pernah mereka lakukan kepada pasangan baru adalah dilarang di dalam islam kecuali ada sebab-sebab tertentu seperti untuk mengesahkan kandungan dan sebagainya.
Sebagai kesimpulan, saudari boleh membuat penilaian sendiri samada untuk meneruskan hubungan dengan si A berdasarkan sikapnya sekarang. Tidak timbul lagi soal kesian (jika mereka benar-benar telah berpisah), soal khuatir perkara sama berulang lagi (jika beliau sudah bertaubat, jaga solat dan baik akhlaknya). Buatlah pilihan terbaik, InsyaAllah ibu saudari sentiasa gembira asalkan saudari gembira.
Buat solat Istikharah dan sentiasa berdoa adalah langkah terbaik untuk melihat jalan yang harus dipilih. Akhir kata, saya doakan saudari menemui kebahagiaan dan gembira dalam rahmat yang maha esa. InsyaAllah…
wanwma.com
0 comments:
Post a Comment