
Hari tu cuaca sedikit panas tetapi sepertimana biasa setiap kali aku ke tempat ini pasti ada sahaja penghuni baru yang disemadikan bermakna kematian itu sentiasa berlaku tidak mengira faktor cuaca dan setiap manusia hanya menunggu gilirannya sahaja. Melihat lubang-lubang kubur yang hanya menunggu untuk diisi hati menjadi sebak mengenangkan diri yang masih terpalit dengan dosa.
Seusai melawat dua pusara aku singgah seketika di pintu masuk tanah perkuburan. Sengaja ingin bertemu dengan tuan punya kedai pembinaan kepuk dan batu nisan. Ada hajat yang belum tertunai…
” Assalamualaikum, Hai sibuk nampak gayanya bang..” aku menegur seorang lelaki yang agak kurus susuk tubuhnya. Kepalanya telah penuh diseliputi rambut putih.
“Waalaikumussalam.., heh! sibuk tak sibuklaa dik.. dah memang kerja sehari-hari macam ni.. ada hajat ke?” Jawabnya mesra.
“Haah bang, maaflah mengganggu sekejap ye.. begini.. saya ingat nak tempah buatkan kepuk dan batu nesan untuk kubur bapa mertua saya.. dekat blok 6, “
“Owh.. , boleh.. pilihlah kepuk macammana yang adik nak, katalog dia ada atas meja tu..”
Ada bermacam-macam jenis kepuk yang aku dapat lihat dalam katalog tu. Dari yang batu bata sehingga ke kayu cengal, dari tidak bertingkat sehingga ke tiga tingkat, dari bawah seribu hingga mencapai ke RM 7000 kosnya. “Dasyat juga bisnes kepuk dan batu nesan ya..” Bisik hati kecil aku..
“Emm.. saya rasa saya nak ambil yang biasa-biasa je bang.. mungkin yang RM 900 nih. Jujur saya sendiri tak berapa berkenan dengan binaan yang berlebih-lebih sangat untuk kubur nih.. ” terang aku jujur.
“Betul tu.., saya sendiri tak menggalakkan tapi yelah kita berniaga, orang ni pulak macam-macam dik.. jadi saya ikut aje.., dia nak macam tu dan sanggup keluarkan kos.. kita buat.., kubur mak saya pun saya buatkan kepuk biasa-biasa jee..”
“Bayaran macammana bang? nak saya bayar sekarang ke?”
“Emm ini satu lagi, saya sebenarnya tak kisah samada adik nak bayar sekarang atau lepas siap atau nak bagi deposit dulu sikit ke.. itu terpulang. Kerja saya bila orang mintak buat saya buat.. bagi saya benda tu tanggungjawab saya kat tanah perkuburan ni.. saya percaya semua orang yang datang sini tapi yelah.. manusia dik.. ada yang suruh buat mahal-mahal tapi lepas tu tak bayar.. ada yang bayar deposit seratus, dua ratus lepas tu bila dah siap tak menjengah pulak kesini.. saya nak cakap apa.. bagi saya kalau diorang ingat tu bayarlah.. kalau tak saya boleh buat apa..?”
Sayu pulak aku dengar penerangan abang ni. Memang ramai betul yang tak bayar kalau dilihat pada senarai di papan kenyataan dia. Ada yang hutang tertunggak dari tahun 1998 lagi. Manusia.. manusia.. ada juga hati-hati yang keras sebegitu sehingga tanah perkuburan tak mampu untuk melembutkannya.
“Susah juga macam ni ye bang..” aku mati kata-kata sebenarnya
“Kalau tengok pada papan kenyataan tu memang banyak dik, tapi macam saya cakap tadi yang saya buat semua ni atas rasa tanggungjawab.., jadi rezeki lain yang Allah beri masih ada dan alhamdulillah tak putus.. sekarang ni saya bukan buat tempahan dekat tanah perkuburan ni saja.. tapi ada yang dari batam, brunei, Indon kemari buat tempahan. Alhamdulillah.. saya syukur sangat.. nak marah-marah tak guna dik.. dunia saya kat sini dan zaman ni kalau di beri pilihan sebenarnya saya rasa.. mati lagi baik.. serabut saya tengok keadaan sekarang.. kalau balik rumah.. saya jarang nak tengok TV melainkan berita jelah.. hiburan dah melampau-lampau… itu bukan untuk saya..” tenang dia bercerita
Aku akui kata-katanya. Itu mungkin sebahagian dari luahan isi hati beliau. Kata-kata itu buat lidah aku kelu..
“Emm.. saya rasa nak mintak bantuan abang lagi ni.. berkenaan kubur abang ipar saya dekat blok 4. Kalau boleh nama kat batu nesan tu saya nak mintak buat baliklaa bang.. dah tak jelas.. itu yang kadang-kadang susah nak jumpa. Kosnya nanti bang kira sekali.. boleh..?”
“Boleh…” jawabnya ringkas..
“Kalau macam tu.. ini saya bagi depositnya… insyaAllah dua minggu lagi saya datang balik.. “
Selesai urusan tangan kami berjabat sebelum aku mengucapkan salam. Salam untuk berpisah buat sementara sambil mengharapkan pertemuan buat kali kedua kerana ada hutang yang belum terlaksana. Sekurang-kurangnya kehadiran kesini mengajarkan aku tentang sesuatu…
0 comments:
Post a Comment