NORSHAHRUL Idlan Talaha melepasi penjaga gol Terengganu, Md Sharbinee Allawee untuk menjaringkan gol kedua Kelantan di Kota Bharu, malam tadi.
SELANGOR bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk meraih kemenangan 4-2 ke atas Negeri Sembilan, malam tadi - sekali gus mengekalkan kelebihan tiga mata selaku pendahulu ke atas pesaing terdekat, Kelantan dalam saingan Liga Super.
# Kelantan yang meraih kejayaan 3-0 ke atas Terengganu mengharapkan ihsan Negeri Sembilan untuk merapatkan jurang dengan pendahulu dan juara Piala FA itu membantu dengan mendahului 2-0 menerusi jaringan Idris Karim pada minit ke-29 dan Shahurain Abu Samah tiga minit kemudian. Namun, Selangor yang turun dengan misi membalas dendam kekalahan pada separuh akhir Piala FA mengikis kelebihan itu dengan jaringan Amirulhadi Zainal Noordin tiga minit sebelum rehat, Hardi Jaafar (m-65), Amirulhadi seminit kemudian dan Bunyamin Omar melengkapkan kebangkitan hebat itu. Di Stadium Sultan Mohd IV, Kelantan mengesahkan kemenangan menerusi jaringan sendiri kapten Terengganu, Marzuki Yusoff pada minit ke-29, disusuli rembatan kencang Indra Putra Mahayuddin selang dua minit kemudian sebelum Norshahrul Idlan Talaha menyempurnakan penalti pada minit ke-35.
# Di Stadium JCorp, Johor FC melonjak ke tempat ketiga selepas menundukkan Perlis, 2-1. Tuan rumah dikejutkan dengan jaringan pelawat pada minit ketujuh menerusi sepakan deras Mohd Fakri Saraani namun anak didik Ramlan Rashid bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-27 oleh Mohd Khairul Ismail sebelum Mohd Ezaidy Khadar menanduk bola masuk selang tiga minit kemudian untuk menemui semula rentak kemenangan.
Dalam perlawanan lain, T-Team meraih kemenangan 1-0 ke atas Kuala Lumpur, Kedah menewaskan Johor 1-0 dan KL Plus mengalahkan Pulau Pinang 4-0.
Admax Supports Eco-Living . Click here for 10 easy things you can do today to go green!

